Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Upacara pecah tanah fasiliti bersepadu penyelenggaraan marin, pentauliahan
08/05/2024

mjpm_080524.jpg

Pada hari ini telah menyaksikan sebuah pencapaian yang penting dalam industri maritim Brunei dengan berlangsungnya upacara pecah tanah bagi sebuah fasiliti bersepadu bagi penyelenggaraan marin dan pentauliahan di Pulau Muara Besar. 

Acara tersebut menandakan permulaan transformatif bagi menuju peningkatan keupayaan negara dalam industri penyelenggaraan dan pembaikan kapal-kapal marin, serta pentauliahannya. 

Berlangsung di Pulau Muara Besar, fasiliti tersebut akan dapat berkhidmat untuk memenuhi keperluan pelanggan tempatan dan juga antarabangsa. 

Upacara dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku tetamu kehormat. 

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah. 

Berucap pada upacara tersebut, Ahli Lembaga Pengarah-pengarah Anson International Sdn. Bhd., Awang Hafriz Fayadh bin Haji Musa antara lain melahirkan kegembiraannya tentang potensi projek berkenaan untuk mendorong pertumbuhan dan inovasi dalam industri maritim di Negara Brunei Darussalam (NBD). 

Menurutnya, fasiliti bersepadu penyelenggaraan marin dan pentauliahan tersebut merupakan sebuah pelaburan yang signifikan ke arah masa depan sektor maritim kita. 

“Dengan memanfaatkan lokasi strategik dan kepakaran kami, projek ini disasarkan untuk menempatkan NBD sebagai salah satu destinasi utama untuk perkhidmatan marin dan pentauliahan di rantau ini," tambahnya. 

Dengan lokasi yang strategik dan infrastruktur yang canggih, fasiliti ini bersedia untuk menjadi salah satu pemain penting di rantau ini, menawarkan perkhidmatan yang menyeluruh untuk menyokong perkembangan sektor maritim dan permintaan pentauliahan ataupun penghapusan aset-aset yang telah luput. 

Kemudahan penyelenggaraan marin ini akan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pembaikan, penyelenggaraan, pengubahsuaian dan pensijilan. 

Dilengkapi dengan teknologi terkini dan dioperasikan oleh pasukan profesional yang mahir, kemudahan tersebut akan memastikan standard kualiti dan kecekapan tertinggi dalam semua operasinya. 

Selain itu, kemudahan pentauliahan akan menawarkan perkhidmatan khusus untuk pentauliahan struktur-struktur seperti yang berasal dari pelantar-pelantar minyak luar pantai yang telah luput. 

Kemudahan berkenaan akan beroperasi berdasarkan piawaian yang tinggi untuk memastikan proses pentauliahan yang selamat dan mesra alam sekitar.

Upacara pecah tanah yang disaksikan hari ini menandakan permulaan fasa pembinaan bagi Fasiliti Bersepadu Penyelenggaraan Marin dan Pentauliahan dan ia disasarkan akan siap sepenuhnya dan beroperasi pada suku ketiga 2025. 

Pembangunan fasiliti tersebut juga menunjukkan komitmen NBD dalam mempelbagaikan lagi ekonominya dan memupuk pembangunan yang lestari. 

Dalam hal ini, Syarikat Anson International Sdn. Bhd. turut komited dalam memastikan kejayaan jangka panjang projek tersebut, yang akan menyumbang secara langsung kepada hasrat NBD untuk membangunkan kluster maritim di dalam negara dan seterusnya menyokong pembangunan ekonomi negara. 

Anson International Sdn. Bhd. adalah sebuah usaha sama di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi, bersama dengan syarikat tempatan dan juga rakan kongsi teknikal dari luar negara, yang diwujudkan untuk menubuhkan sebuah fasiliti bersepadu penyelenggaraan marin dan pentauliahan yang pertama di Pulau Muara Besar. 

Projek Anson International Sdn. Bhd. turut disokong oleh pelbagai pihak berkepentingan, seperti Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei, Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn. Bhd., dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi. 

Fasiliti berkenaan terletak di barat laut Pulau Muara Besar dan dirancang untuk mula beroperasi pada 2025, menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan marin seperti pengubahsuaian, pembaikan, pensijilan dan sebagainya; dan jua perkhidmatan pentauliahan, pemusnahan, dan pengitaran semula bagi aset-aset luput seperti aset-aset pelantar minyak dan gas luar pantai. 

Fasiliti tersebut disasarkan akan menjadi kemudahan bertaraf dunia yang mampan, dan berkemampuan untuk memenuhi permintaan daripada industri Marin dan permintaan pentauliahan daripada pelanggan tempatan serta rantau Asia Pasifik yang lebih luas.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​